Sunday, September 7, 2008

pendidikan seni visual rohasmezan

Pendidikan Seni Visual adalah mata pelajaran wajib sekolah-sekolah di Malaysia. Di sekolah menengah Pendidikan Seni Visual yang terdaftar di dalam SPM dan Seni Visual di dalam STPM. Pendidikan Seni Visual adalah mata pelajaran berkenaan dengan ilmu tentang kesenian seni rupa dari segi teori dan praktikal.

Dalam SPM terdapat tiga bahagian kertas peperiksaan iaitu Kertas 1 - Teori Seni Visual, Kertas 2 - Seni Halus dan Kertas 3 - Kajian Rekaan Seni Visual. Dalam Kertas 1 pelajar harus menjawab 50 soalan objektif yang berkaitan dengan teori seni visual. Dalam Kertas 2 pelajar harus menjawab 1 soalan dari 6 soalan yang diberikan. Kertas 2 iaitu Seni Halus yang terdiri dari soalan lukisan dan soalan catan. Lukisan adalah penghasilan karya seni halus yang mengunakan media kering iaitu pensil, pensil warna, crayon atau warna lilin, oil pastel, soft pastel, pensel arang dan lain-lain. Catan adalah penghasilan karya Seni Halus yang mengunakan media basah iaitu cat air, cat minyak, gouche, cat poster, akrilik dan lain-lain. Kertas 3 iaitu kajian rekaan Seni Visual yang terdiri dari 9 soalan anda hanya memilih satu soalan sahaja. Dalam kertas 3 terdapat soalan dari bidang Seni Halus, Seni Reka Grafik, Seni Anyaman, Seni Batik, Seni Seramik, Seni Tekstil, Seni Reka Bentuk Dalaman, Seni Reka Industri, Seni Reka Lanskap, Seni Tenunan, Seni Tekat dan lain-lain. Kertas 3 adalah kerja kursus yang akan anda laksanakan dalam tingkatan 5.

Dalam STPM terdapat empat bahagian kertas peperiksaan iaitu Kertas 1 - Teori Seni Visual, Kertas 2 - Lukisan, Kertas 3 - Projek Penghasilan Karya dan Kertas 4 - Teori Penghasilan Karya (Bagi calon persendirian). Dalam Kertas 1 terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Bahagian A - 6 soalan struktur (wajib jawab semua soalan), Bahagian B - 4 soalan esei (pilih 2 soalan untuk dijawab) dan Bahagian C - 2 soalan esei (pilih 1 soalan untuk dijawab). Dalam Kertas 2 calon perlu melukis 'setting' atau gubahan atau komposisi yang telah disusun oleh Ketua Pengawas peperiksaan mengikut arahan soalan. Calon wajib mengunakan media kering untuk menghasilkan lukisan iaitu pensel atau pensel arang (charcoal). Dalam kertas 3 terdapat 4 soalan, calon dikehendaki memilih 1 soalan untuk dijawab. Terdapat 2 bidang iaitu Bidang Pengkaryaan dan Bidang Perekaan. Bidang pengkaryaan adalah Seni Halus iaitu Lukisan, Catan, Cetakan dan Arca. Bidang Perekaan adalah Komunikasi Visual (Grafik dan Multimedia), Reka Bentuk Teknologi (Industri, Automobil, Seramik, Fesyen dan Tekstil) dan Reka Bentuk Persekitaran (Lanskap dan Hiasan Dalaman).

TEKNIK MENJAWAB SOALAN PENDIDIKAN SENI VISUAL (SPM) DAN SENI VISUAL (STPM)
SPM
KERTAS 1 - TEORI SENI VISUAL
Calon mesti membaca, meringkaskan nota, memahami dan menghafal fakta yang berkaitan dengan teori seni. Tajuk yang terkandung di dalam kertas 1 adalah 1. Penghasilan Seni Visual, 1.1. Asas Seni Reka, 1.2. Seni Halus, 1.3. Komunikasi Visual, 1.4. Reka bentuk, 1.5. Kraf Tradisional dan Dimensi Baru, 2. Sejarah dan Apresiasi Seni Visual dan 2.1. Perkembangan Seni Visual di Malaysia. Untuk persediaan semasa SPM, cari buku soalan dan buat latihan sebanyak mungkin agar anda menjadi mahir. Semasa peperiksaan, baca soalan dan fahamkan kehendak soalan. Selepas itu lihat jawapan, bukan bermaksud kita mencari jawapan yang betul tetapi kita mencari jawapan yang paling betul. Masa yang diperuntukan selama 1 jam 15 minit. Anda mesti membahagi masa iaitu 75 minit bahagi 50 soalan = 1.5 minit masa untuk menjawab satu soalan. Jangan buang masa memikirkan soalan terlalu lama. Jika cukup tempoh untuk soalan yang dijawab sudah habis teruskan menjawab soalan yang seterusnya. Setelah selesai menjawab semua soalan yang senang. Terus tandakan jawapan anda pada kertas OMR dengan mengunakan pensel 2B, jangan tanda jawapan secara ringkas atau mengunakan pen. Kerana komputer yang menanda kertas jawapan tidak dapat membaca jawapan anda. Jika menukar jawapan pastikan tanda jawapan dipadam sepenuhnya agar tidak meninggalkan kesan. Bagi soalan yang terlalu susah, gunakan logik akal untuk menjawab soalan.

KERTAS 2 - SENI HALUS
Dalam soalan kertas 2, terdapat 6 soalan yag diberikan. Kertas soalan perlu diambil 1 minggu awal dari tarikh peperiksaan dari Ketua Pengawas Peperiksaan. Setelah mendapat soalan anda perlu baca semua soalan dan buat keputusan soalan yang mana paling senang untuk mendapat markah yang tinggi. Di dalam kertas ini terbahagi kepada 2 jenis karya yang dihasilkan iaitu Karya lukisan dan karya catan. Anda perlu mencari gambar yang berkaitan dengan soalan yang anda pilih. Kemudian gabungkan gambar mengikut arahan soalan. Buat latihan sebanyak mungkin untuk memahirkan teknik melukis serta untuk menghafal proses penghasilan karya. Karya yang dibuat latihan di rumah tidak boleh dibawa semasa peperiksaan. Pastikan anda mengunakan media kering untuk menghasilkan lukisan. Pastikan anda mengunakan media basah untuk menghasilkan catan. Jangan Lukis imej terlalu kecil kerana kita tidak dapat menunjukkan teknik membuat ton pada imej dengan terperinci. Media kering adalah pensel (2B, 4B dan 8B), arang, pensel warna, warna lilin (oil pastel), warna kapur (soft pastel) dan lain-lain. Media basah adalah warna air, warna poster, gouche, akrilik, cat minyak dan lain-lain.

KERTAS 3 - KAJIAN REKAAN SENI VISUAL
Dalam kertas 3, calon perlu membuat kerja kursus. Ada 9 soalan, jawab 1 sahaja. Selalunya kertas 3 akan dilaksanakan semasa berada di tingkatan 5. Calon perlu menghasilkan Portfolio dan Karya. Portfolio calon mestilah berukuran saiz kertas lukisan iaitu lebih kurang 28cm x 38cm. Portfolio mestilah dibukukan iaitu dijilid. Karya yang dihasilkan adalah mengikut kepada soalan yang dipilih iaitu Seni Halus, Seni Grafik, Kraf Tradisional atau lain-lain. Calon mesti membaca soal dengan teliti agar tidak membuat sebarang kesilapan atau kekurangan perkara yang dikehendaki oleh soalan. Jangan menangguh masa untuk menyiapkan kerja kursus kerana ia akan menggangu dan mengambil masa yang lama untuk dihasilkan. Kerana banyak proses yang perlu dilalui untuk menghasilkannya.

No comments: